Lelaki yang direman bagi membantu siasatan kebakaran mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol dibebaskan dengan jaminan polis. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


TEMPOH tahanan reman lelaki berusia 23 tahun yang ditahan polis kerana disyaki terbabit membakar bahagian mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol, Jalan Pedu, Padang Terap Isnin lalu berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, suspek yang direman tiga hari sejak Selasa lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas pusat ibadat.

Dalam kejadian itu, sebahagian mimbar dan permaidani di Masjid Padang Setol terbakar dipercayai perbuatan khianat.

Kejadian itu disedari jemaah masjid ketika hendak menunaikan solat Subuh pada 5.40 pagi hari kejadian sebelum membuat laporan polis.

Berikutan itu, polis berjaya mengesan suspek di Kampung Tanjung Pauh, dekat sini pada 3 petang hari sama untuk membantu siasatan.

Suspek sebelum itu mempunyai dua rekod jenayah iaitu jenayah khianat dan judi.

Kejadian itu membabitkan masjid keempat yang dibakar selepas dua masjid di Pendang dan satu di Alor Setar turut dibakar permaidani serta kompresor penghawa dingin.

Berita berkaitan

Bakar masjid: Suspek ditahan polis

Botol baki minyak petrol ditemui

4 masjid ‘terbakar’ dalam seminggu

’Terkejut masjid sendiri terbakar’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 3:02 PM