Shamsul Munir Safini


WANITA berusia 53 tahun dan rakannya, 25, diberkas polis selepas merancang kejadian samun ke atas mereka Isnin lalu.

Harian Metro melaporkan kejadian dua pekerja sebuah syarikat disamun di Jalan 2, Kepala Batas ketika dalam perjalanan memasukkan wang hasil jualan harian kedai tempat mereka bekerja berjumlah RM20,400 ke sebuah bank berdekatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian samun itu dipercayai betul-betul berlaku malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga merakam aksi dua lelaki melarikan beg dipegang mangsa.

“Hasil siasatan lanjut, polis menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun dan mereka mengaku kejadian itu lakonan semata-mata yang dirancang wanita berusia 53 tahun berkenaan.

“Polis kemudian menahan kedua-dua mangsa yang membuat laporan polis palsu dan mereka enggan mengaku ia dirancang,” katanya.

Noorzainy berkata, namun selepas mereka mengetahui tiga ‘pelakon’ yang diupahnya ditahan polis, suspek mengaku merancang kejadian itu kerana tertekan untuk membayar hutang ceti.

Katanya, suspek wanita itu mengaku meminjam RM30,000 daripada along untuk tujuan peribadi dan menghadapi masalah membayar balik bunga pinjaman itu berjumlah RM3,000 setiap bulan.

“Suspek yang bekerja di syarikat itu sejak dua tahun lalu mengaku terpaksa merancang kejadian samun itu bersama empat lagi rakannya termasuk wanita yang menunggang motosikal kerana terdesak mencari wang.

“Kejadian itu dirancang dan tiga lelaki yang melakukan samun ke atas mereka adalah rakannya yang mana salah seorang daripadanya bekas pekerja di tempat kerjanya,” katanya.

Menurutnya, selepas menyamun, semua wang itu dibahagikan dengan setiap mereka mendapat RM4,000 malah ada antara mereka membeli telefon bimbit baru.

Katanya, susulan pengakuan suspek, polis berjaya memperoleh semula wang tunai RM13,000 yang disamun termasuk RM7,300 yang sudah dimasukkan ke akaun peribadi salah seorang suspek.

Noorzainy berkata, barangan yang dibeli hasil wang samun juga dirampas dan kelima-limanya ditahan reman sehingga 27 Ogos ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua wanita mendakwa dihimpit sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum wang berjumlah RM20,400 hasil jualan kedai tempat mereka bekerja disamun.

Mangsa tidak dapat mengecam muka suspek kerana mereka bertopi keledar dengan penutup muka.

Berita berkaitan

Penyamun larikan wang jualan RM20,400

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 3:28 PM
Pegawai polis menunjukkan wang tunai yang diperolehi daripada suspek yang merancang kejadian samun Isnin lalu. FOTO Ramdzan Masiam