Siti A’isyah Sukaimi


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan, tiada rombakan Kabinet akan berlaku seperti yang dilaporkan beberapa portal berita sejak semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran portfolio membabitkan menteri Kabinet.

“Tiada rombakan Kabinet. Saya bercakap dengan Kabinet, mungkin ada tukar sikit portfolio, tapi belum ada.

“Kalau nak buat (tukar portfolio), saya bagi tahu,” katanya pada sidang media Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat seperti dilaporkan beberapa portal berita.

Ditanya mengenai portfolio kementerian yang perlu ditukar, beliau tidak boleh mendedahkan perkara itu dan memaklumkan akan memberitahu nanti.

Selain itu, Dr Mahathir turut menafikan spekulasi bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyertai Kabinet.

Mengulas sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian menteri Kabinet, Dr Mahathir berkata, mereka mempunyai pengalaman lebih setahun memimpin kementerian masing-masing dan dilihat lebih berupaya daripada sebelum ini.

“Kita sudah melihat pencapaian mereka. Semua perkara berkenaan diambil kira,” katanya.


Tun Dr Mahathir bergambar bersama pegawai kerajaan di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Terdahulu pada majlis berkenaan, seramai 1,500 pegawai kerajaan Gred 41 hingga 48 menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan bukanlah sebuah kerajaan yang tidak bertimbang rasa sebaliknya, meletakkan keselamatan negara terutama kedudukan kewangan sebagai keutamaan.

Katanya, kerajaan pimpinannya tidak boleh memberi kemewahan kepada rakyat seperti kerajaan sebelum ini kerana tindakan itu meningkatkan hutang dan menjejaskan negara.

Beliau berkata, kerajaan terdahulu meninggalkan hutang lebih RM1 trilion dan sanggup menyalahgunakan wang itu untuk ‘menyogok’ rakyat bagi mendapatkan sokongan dan menunjukkan mereka seolah-olah kerajaan bertimbang rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:27 PM