X
Murni Wan Omar


WANG lebih RM1.2 juta yang dibekukan daripada akaun bank milik Yayasan Rahah, Naza Quest Auto Sdn Bhd dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail sudah dilucut hak dan menjadi harta kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga responden itu bersetuju untuk harta itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan. Saya mengesahkan ada menerima representasi daripada pihak responden.

“Oleh itu saya mohon tarikh sebutan baru untuk penghakiman persetujuan direkodkan,” katanya.

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk Yayasan Rahah dan Ibrahim manakala 13 September ini untuk Naza.

Peguam Amin Othman hadir bagi mewakili Yayasan Rahah dan Ibrahim manakala Md Yunos Sharif mewakili Naza Quest Auto.

Tahun lalu, wang itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Wang itu disita berhubung penyiasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM839,489.82 daripada Yayasan Rahah; Ibrahim Awang berjumlah RM100,000 dan Naza Quest Auto (RM269,662).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:37 PM