YEOH ditemui media selepas Program Intergenerasi ‘Semarak Jiwa’ 2019 dan Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di PPR Hiliran Ampang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan tetap mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak dalam isu pelaksanaan khidmat teksi motosikal, GoJek.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan menjalankan kajian lanjut selepas menerima butiran lengkap tentang pelaksanaan khidmat itu daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tidak kiralah Grab (Grab Car), GoJek atau apa-apa saja, bagi pihak Kementerian kita melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kita juga menjaga (melindungi) orang kurang upaya (OKU).

“(Buat masa ini) Kita tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan (selepas itu) baru beri secara rasmi (apa-apa cadangan),” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.


YEOH (kanan) pada majlis pelancaran disaksikan Ramlee (dua kanan) dan Liah. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Beliau diminta mengulas cadangan mahupun langkah Kementeriannya bagi melindungi golongan wanita daripada menjadi mangsa sebarang kejadian tidak diingini termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan terbabit andainya selepas dibenarkan beroperasi kelak.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Liah Pariuk dan Pengerusi PAWE Titiwangsa Ramlee Alias.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat kajian malah kementeriannya juga diminta memberikan ulasan mahupun cadangan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan itu.

“Kita masih belum ada (terima) ulasan (butiran lengkap) daripada pihak MOT lagi,” katanya.

Semalam, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baru dalam perlaksanaan perkhidmatan Gojek termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.


YEOH (tujuh kiri) memotong pulut kuning sebagai gimik pada Program Intergenerasi ‘Semarak Jiwa’ 2019 dan Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di PPR Hiliran Ampang. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, sejak Januari lalu 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara iaitu peningkatan 12 peratus.

“Sebanyak 63 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

“Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu ‘productive welfare’ tak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, tahun ini kerajaan bakal menubuhkan 48 lagi PAWE di seluruh negara bagi memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta sebagai persiapan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:41 PM