Bot nelayan Vietnam yang ditahan PPM Wilayah 4 selepas disyaki mengutip balat di perairan Sabah pada Selasa lalu. Foto Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


DUA bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Sabah dan mencuri hasil laut negara ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam Op Pensura Khas pada Selasa lalu.

Dalam operasi itu, PPM menahan 10 lelaki Vietnam dan merampas hasil laut, kapal serta peralatan digunakan yang dianggar bernilai lebih RM1.6 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bot pertama yang dikendalikan lima nelayan warga Vietnam ditahan pada 9.45 pagi di kawasan perairan Pulau Langkayan, Beluran.

Menurutnya, PPM terpaksa mengejar kapal berkenaan yang enggan berhenti selepas diarahkan berbuat demikian sebelum berjaya menahannya kira-kira 20 minit kemudian.

“Dalam cubaan melarikan diri itu, kapal berkenaan juga cuba melanggar bot PSC 63 PPM sebelum.

“Hasil pemeriksaan, PPM menemui peralatan menangkap balat atau gamat dalam kapal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, lima lelaki Vietnam berkenaan ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut di perairan Malaysia dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM815,000.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, bot kedua pula ditahan pada 3.30 petang sekitar perairan Sandakan.

Menurutnya, pemeriksaan PPM menemui dua tong berisi timun laut serta tiga set peralatan menangkap hasil laut berkenaan dalam kapal terbabit.

“Kapal itu juga dikendalikan lima nelayan warga Vietnam dan mereka turut ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut di perairan negara.

“Nilai rampasan dalam operasi kedua itu diangarkan berjumlah RM805,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:01 AM