PELAJAR dan guru SMK Seri Kampar bersama replika sarang burung tempua yang dibina.
Balqis Jazimah Zahari

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di sini, mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi reka cipta replika sarang burung tempua terbesar di negara ini.

Sarang burung tempua setinggi 10 meter dan lebar 6.66 meter itu dihasilkan oleh 700 pelajar, 100 guru serta 40 penduduk setempat.

Pengesahan rekod diumumkan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong pada majlis perasmian projek reka cipta replika sarang burung dan penyerahan sijil di Dewan Besar sekolah berkenaan semalam.

Pengarah projek, Muzafar Saari berkata, replika itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan bermula Mei lalu dengan menggunakan bahan semula jadi yang dijangka mampu bertahan selama dua tahun.

“Idea membina sarang burung ini tercetus selepas melihat artikel mengenai Stadium Olimpik Sarang Burung di Beijing, China.

“Replika ini kemudian dibina di pokok bersebelahan dewan sekolah,” katanya selepas perasmian projek itu oleh Ahli Parlimen Kampar Su Keong Siong dan penyerahan sijil MBOR.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Kinta Selatan Dr Mior Hamdan Ghazali dan penaja utama projek, Abdul Jamil Maidin.

“Antara yang kami gunakan bagi menghasilkan sarang ini ialah 1,600 bilah buluh selain selori daun rumbia dengan kos keseluruhan hampir RM20,000.

“Menerusi projek ini, ia dapat mengembangkan bakat semula jadi pelajar, kreativiti seni selain mencetuskan suasana pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:06 AM