LAPORAN portal berita Harian Metro.
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Nurul Fatihah Sulaini


“ALHAMDULILLAH hari ini saya sudah dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang mendoakan saya,” kata Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Beliau berkata, keadaannya kini semakin pulih selepas 10 hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, walaupun ibu jari kanannya yang putus akibat ditetak tidak dapat disambung semula.

Katanya, buat masa ini, dia akan berehat di rumah dan dijadualkan kembali bertemu doktor di hospital, Khamis depan untuk rawatan susulan.

“Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan dan kesihatan saya.

“Banyak kata-kata semangat menerusi WhatsApp dan daripada mereka yang datang menziarah di hospital. Saya OK dan reda. Terus doakan saya ya,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Idris Mohamed yang baru dilantik ke jawatan itu, hari ini akan menjalankan tugas sepanjang ketiadaannya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari 15 Ogos lalu, Mohd Zamri cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak seorang lelaki mengalami masalah mental menggunakan parang di hadapan rumahnya di Taman Cardova Residence Padang Luas, Besut.

Mohd Zamri kemudian dikejarkan ke HUSM untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan menyambung semula ibu jarinya,

Bagaimanapun, beliau terpaksa menjalani pembedahan kedua membuang semula ibu jari disambungkan kerana dijangkiti kuman.

Sementara itu di Jertih, Idris yang sebelum ini memegang jawatan Pegawai Turus Kordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Terengganu, berkata sedia membantu Ketua Polis Daerah Besut menurunkan indeks jenayah di daerah itu.

“Usaha ini memerlukan komitmen dan kerjasama pegawai dan anggota polis serta bantuan masyarakat. Saya juga berterima kasih atas kepercayaan menggalas tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas dengan Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Asisten Superintendan Rozaime Ab Rahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, hari ini.

Majlis serah tugas itu disaksikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu, Asistem Komisioner Noor Halim Nordin.

Idris sebelum ini pernah memegang jawatan Pegawai Pendakwa IPD Setiu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Setiu dan Pemangku Ketua Polis daerah Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:30 PM