Gambar Hiasan
Hadzlihady Hassan


LELAKI luka hidung, mata kiri serta sakit di kepala akibat dipukul dipercayai lima penyokong pasukan bola sepak Perak di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya, Jalan Datuk Keramat, Georgetown malam tadi.

Kejadian berlaku 11.30 malam ketika mangsa berusia 18 tahun dalam perjalanan pulang selepas selesai menonton perlawanan antara Pulau Pinang menentang Perak dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa yang menunggang motosikal mendakwa dia dihampiri dan diserbu lima lelaki itu sebelum seorang daripada mereka menumbuk dan memukulnya.

Menurutnya, mangsa yang juga penyokong pasukan Pulau Pinang mendakwa dia tidak mengenali semua lelaki terbabit yang memakai baju hitam dan dipercayai penyokong pasukan Perak.

“Selepas dipukul, mangsa yang ketakutan terus memecut motosikal sebelum mendapatkan rawatan di hospital dan membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Mangsa dalam keterangannya memberitahu yang dia tidak membuat sebarang kesalahan terhadap semua suspek selain mendakwa dapat mengecam wajah mereka,” katanya.

Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada provokasi antara penyokong pasukan masing-masing selepas perlawanan tamat.

“Penyokong pasukan masing-masing mula saling membaling bekas minuman berisi air selepas perlawanan tamat.

“Mangsa mendakwa yang dia ketika itu hanya melihat kejadian terbabit dan tidak masuk campur namun secara tiba-tiba diserbu dan dipukul suspek tanpa sebab,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:25 PM