GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


PEMBAYARAN fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dikreditkan terus ke akaun bank mulai Rabu ini, dengan menggunakan maklumat akaun bank yang digunakan ketika pembayaran fasa kedua BSH 2019.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, peruntukan yang terbabit adalah RM1.23 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima BSH.

“Pada masa sama, sejumlah RM2.85 bilion sudah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) BSH 2019 kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat anak.

“Anak tanggungan merujuk kepada anak berusia 18 tahun dan ke bawah dan juga anak orang kurang upaya (OKU) tanpa had umur,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau emel kepada [email protected].

Berdasarkan perincian nilai BSH 2019 bagi fasa tiga, pendapatan isu rumah bawah RM2,000 akan menerima BSH RM400, pendapatan isu rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM300) manakala pendapatan isu rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

Bagi fasa dua pada Mei lalu, pendapatan isu rumah bawah RM2,000 menerima BSH RM300, pendapatan isu rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM150) manakala pendapatan isu rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM100.

Untuk fasa pertama pula, semua kategori pendapatan bulanan isi rumah berkenaan masing-masing menerima RM300 pada Januari lalu.

Keseluruhan jumlah BSH 2019 untuk ketiga-tiga fasa diterima bagi pendapatan isu rumah bawah RM2,000 ialah RM1,000,pendapatan isu rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM750) manakala pendapatan isu rumah RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:53 AM