KUMPULAN KIK UiTM Kampus Kuala Pilah menunjukkan tepung yang dihasilkan daripada kulit pisang nangka. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


KUMPULAN Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah menghasilkan tepung serba guna daripada kulit pisang nangka.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Dr Rosli Noormi berkata, kumpulan KIK yang terdiri daripada sembilan pensyarah dan kakitangan makmal mengambil masa empat hari untuk menghasilkan tepung berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan terbabit turut menerima tunjuk ajar daripada Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Rembau, Al-Bakri Mohamed.

“Idea itu tercetus apabila melihat kulit pisang dibuang begitu saja, sedangkan kajian mendapati kulit pisang boleh digunakan untuk menghasilkan produk berkhasiat tinggi seperti tepung serba guna.

“Berikutan itu, kami mendapatkan kulit pisang nangka daripada penduduk dan peniaga di sekitar Kuala Pilah untuk menghasilkan produk itu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.


TEPUNG serba guna dihasilkan daripada kulit pisang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Hasil kejayaan itu, Rosli berkata, ia bukan saja dapat mengurangkan bahan buangan tetapi menambah nilai ekonomi kepada pengusaha yang mahu menghasilkan tepung terbabit.

Malah, katanya, penghasilan produk itu akan dipertandingkan pada konvensyen KIK di UiTM Kampus Melaka, selama dua hari bermula Rabu ini.

“Produk ini sudah didaftarkan hak cipta dan berharap ia dapat dikomersilkan bagi kegunaan industri makanan.

“Ia mengandungi nutrisi yang tinggi seperti mineral, karbohidrat, fiber dan sebatian antikanser serta sesuai digunakan bagi membuat biskut, kek coklat, muffin dan lempeng,” katanya.

Sementara itu, pengusaha produk makanan, Ramlan Marzuki, 27, yang berpeluang menggunakan tepung berkenaan berkata, produk itu seperti bijirin.

Ramlan yang menjalankan perniagaan di Kampung Getir, Kuala Pilah berkata, dia tidak menyangka tepung serba guna itu dihasilkan daripada kulit pisang kerana berkualiti tinggi seperti tepung lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 1:55 PM