NILAI menjadi satu daripada lokasi yang sedang dipertimbangkan di Negeri Sembilan untuk dibangunkan stesen dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui sesi perbincangan antara kerajaan negeri dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), 8 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pertemuan pertama turut membentangkan pilihan laluan ECRL terkini merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.

“Kerajaan negeri dimaklumkan sehingga kini jajaran (ECRL) masih belum dimuktamadkan dan perlu dikaji dengan teliti dari pelbagai aspek seperti impak sosial dan persekitaran, impak operasi, tahap penjimatan dan kesesuaian teknikal serta kos dan cabaran pelaksanaanya.

“Sehubungan itu, sesi perbincangan pertama berhubung pilihan laluan diadakan bersama MRL pada 8 Ogos lalu. Pilihan laluan terkini yang dibentangkan oleh MRL merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai.

“Sesi taklimat laluan terkini akan dibentangkan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 September depan,” katanya ketika menjawab soalan Yap Yew Weng (DAP-Mambau) pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Seremban, hari ini.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, pembangunan jajaran ECRL akan memberi pelbagai limpahan manfaat terutama dalam peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Jelebu.

“Persekitaran perniagaan juga akan berubah dengan kehadiran lebih ramai pekerja di kawasan ini. Ia akan membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana dan kecil selain meningkatkan lagi permintaan makanan, rumah, kedai runcit dan pengangkutan.

“Projek ini mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di Jelebu dan sekali gus mempromosikan produk eko-pelancongan sedia ada seperti Taman Negeri Kenaboi dan taman eko rimba yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Hassn (BN-Rantau) turut mencadangkan supaya stesen ECRL di Nilai dijadikan hab pengangkutan bersepadu sekiranya ia dimuktamadkan.

“Kita nak cadangkan kerajaan negeri ambil kira pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) kerana dalam perancangan awal, ada satu stesen Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang sudah diluluskan sebagai stesen bertaraf antarabangsa.

“Kita cadangankan (stesen Nilai) dijadikan hab pengangkutan bersepadu dan kalau boleh ECRL disambungkan ke stesen itu bagi memudahkan penumpang dari Pantai Timur mudah untuk terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 1:55 PM
AMINUDDIN menyampaikan perbahasan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman