PENUMPANG memenuhi ruang di KLIA berikutan gangguan sistem pada 23 Ogos 2019. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Muhaamad Hafis Nawawi


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menafikan laporan yang tular di media sosial mendakwa kemasukan tiga juta warga Republik Rakyat China (RRC) dan lain-lain dakwaan kemasukan tidak teratur warga asing ke dalam negara ketika gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketika sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami gangguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh JIM dilakukan secara manual dan semua pelawat asing perlu mematuhi semua syarat serta mengikut prosedur standard operasi (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

Menurutnya, selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan juga penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit.

“Sistem mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat perkongsian dan membuat ia tular,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:46 PM