Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norizuan Shamsuddin


BELASAH isteri dan anak akibat tidak puas hati selepas mendakwa wanita itu mengusik telefon pintar miliknya.

Tindakan ganas itu dilakukan lelaki berusia 40-an selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya di kediaman mereka di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu Jumaat lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun bersama anak lelaki dan suaminya berada di kediaman mereka pada 12.30 tengah hari.

“Secara tiba-tiba berlaku perselisihan faham apabila lelaki itu menuduh isterinya mengusik telefon pintar miliknya menyebabkan berlaku pertengkaran antara pasangan itu.

“Suspek kemudian bertindak ganas dengan menendang pinggang isterinya hingga rebah.

“Melihatkan itu anak lelaki mangsa cuba membantu melindungi ibunya daripada dipukul sehingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan suspek,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian wanita itu bersama anak lelakinya keluar dari rumah terbabit kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, kejadian menyebabkan wanita itu cedera badan manakala anak lelakinya luka di bahagian dada akibat digigit suspek.

“Suspek turut menghantar pesanan ringkas kepada mangsa memaklumkan mahu mengambil semua barang-barang di dalam kediaman mereka untuk dijual.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, 2.36 pagi sehari selepas kejadian kerana bimbang keselamatan diri dan anak berikutan suaminya terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan pihaknya sudah menahan lelaki terbabit untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:55 PM