FOTO hiasan
BERNAMA

POLIS menahan tiga lelaki tempatan, semalam, selepas dipercayai terbabit dalam insiden serang pemandu dan kelindan lori menggunakan parang di Jalan Kulai-Sedenak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, kedua-dua mangsa cedera selepas ditetak menggunakan parang di tangan, bahu, muka sebelah kiri.

Katanya, penyerang juga bertindak memecahkan cermin hadapan, kiri dan kanan lori dinaiki mangsa.

“Satu laporan polis dibuat, Sabtu lalu, oleh mangsa di Balai Polis Kelapa Sawit menyatakan dia dan rakannya diserang empat lelaki menggunakan parang ketika menaiki lori di Jalan Kulai-Sedenak.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulai berjaya menangkap seorang lelaki berusia 33 tahun kira-kira jam 4 petang, semalam.

“Kira-kira jam 8.40 malam hari sama, satu tangkapan susulan pula dilakukan terhadap dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 30 tahun di IPD Kulai dan soal siasat ke atas kedua-duanya mendapati mereka mengaku memukul dan merosakkan lori mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tok berkata, semua suspek ditahan di lokap IPD Kulai bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Kulai, hari ini, untuk mendapatkan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 2:42 PM