Mohd Sabran Md Sani


DUA sekolah berhampiran hutan terbakar di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang di Gelang Patah, Iskandar Puteri yang ditutup selama dua hari bermula kelmarin, kembali beroperasi hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang, mendapati sesi pembelajaran berjalan seperti biasa.

Bagi memastikan kesihatan pelajar tidak terjejas, agihan penutup hidung dan mulut dilakukan guru di pagar sekolah berkenaan.

Pengetua SMK Tanjung Adang, Noor Hafizah Abd Wahab berkata, arahan pemakaian penutup mulut dan hidung bagi memastikan kesihatan pelajar dan guru dalam keadaan terbaik.

Katanya, kesan kebakaran hutan itu boleh menjejaskan kesihatan sekiranya asap dari lokasi kebakaran dibawa angin ke kawasan sekolah.

“Pada masa sama, semua aktiviti luar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan selamat dan tidak menjejaskan kesihatan.

“Bagi pelajar yang mengalami masalah pernafasan mereka diminta supaya tidak datang ke sekolah,” katanya ketika di temui di sekolah itu, pagi ini.


ANGGOTA Bomba membawa hos air untuk operasi pemadaman kebakaran hutan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Katanya, persekitaran sekolah juga semakin baik jika dibandingkan keadaan sebelum ini.

“Apa yang boleh dikatakan, keadaan kualiti udara lebih baik berbanding Ahad dan Isnin lalu.

“Ini kerana asap mahupun jerebu sudah berkurangan berbanding kelmarin apabila asap dan jelaga kebakaran memenuhi kawasan sekolah, ” katanya.

Kelmarin dua sekolah ditutup dua hari berikutan kedudukannya begitu hampir dengan lokasi kejadian kebakaran hutan yang berlaku sejak Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor, Ab Rahim Lamin berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah bagi memastikan tahap kesihatan pelajar tidak terjejas kerana terdedah dengan udara kotor.

Menurutnya, pengisytiharan cuti berkenaan diklasifikasikan sebagai isu bencana.

Ab Rahim berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan lanjutan cuti kepada dua sekolah berkenaan sekiranya keadaan kebakaran di kawasan itu belum dapat diatasi sepenuhnya.

Terdahulu, Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu SMK Tanjung Adang ditutup sementara demi memastikan tahap kesihatan pelajarnya tidak terjejas.

Titah berkenaan dinyatakan baginda selepas melakukan lawatan ke sekolah itu hari ini berhubung insiden kebakaran hutan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:28 PM