Perkhidmatan rel dan bas Rapid KL dilanjutkan sehingga 1 pagi Sabtu ini.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEMPENA sambutan ambang Merdeka esok, operasi perkhidmatan rel dan bas di bawah kendalian Rapid KL akan dilanjutkan sehingga 1 pagi Sabtu ini.

Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Prasarana Malaysia Berhad menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan

keputusan melanjutkan perkhidmatan itu dibuat bagi memudahkan orang ramai menghadiri sambutan ambang merdeka.

Menurutnya, stesen yang terbabit antaranya LRT KLCC (laluan Kelana Jaya), Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling) dan Bandaraya (laluan Ampang/Sri Petaling).

“Bagi stesen lain, waktu operasi tamat adalah seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan untuk

meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Perkhidmatan bas Rapid KL juga akan dilanjutkan waktu operasi sehingga 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Antara laluan yang terbabit adalah Jalan Munsyi Abdullah-Taman Jasa Utama, Lebuh Ampang-Taman Melawati, Pasar Seni-Kota

Damansara, Pasar Seni- Taman Dato Senu, Lebuh Ampang-Pandan Mewah, Pasar Seri-Taman Sri Muda, Pasar Seni-Taman Medan, Pasar Seni-Taman Sri Manja/Taman Sri Sentosa, Pasar Seni-Puchong Utama dan Jalan Silang-Terminal Kajang.

Katanya, dengan lanjutan waktu operasi itu, orang ramai disarankan menggunakan kad nilai Touch ‘n Go agar tidak berlaku kesesakan untuk membeli token di mesin.

“Demi keselesaan bersama, pengguna juga dinasihatkan untuk tidak makan dan minum di dalam tren,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 3:52 PM