Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Norizuan Shamsuddin


DIBELASAH abang kandung hingga cedera muka dan patah gigi hanya kerana tidak berpuas hati berhubung urusan pembahagian harta pusaka.

Itu nasib menimpa lelaki berusia 54 tahun selepas mendakwa dipukul abangnya di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu Isnin lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila abangnya yang berusia 59 tahun datang ke kediaman itu pada 1.10 tengah hari.

Katanya, abangnya terus meluru ke arah mangsa sebelum menumbuk dan memukul adiknya.

“Tidak cukup itu, suspek turut memukul beberapa ahli keluarganya yang berada di rumah berkenaan termasuk kakaknya kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan urusan harta pusaka.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa lebam mata, pecah dan bengkak pada bibir serta patah gigi.

“Suspek turut mengugut akan terus mencederakan mangsa jika dia tidak keluar rumah pusaka keluarga mereka itu,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:11 PM