DR MAHATHIR selepas sidang media mesyuarat berkenaan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad membayangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi anggota Kabinet dalam perubahan kecil portfolio jemaah menteri kerana tiada kekosongan buat masa ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada beliau akan membawa masuk Anwar ke Kabinet.

“Kami tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, malah tiada juga perbincangan mengenai pertukaran portfolio anggota Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya, hari ini.

“Oleh kerana tiada siapa membayangkan mahu meletakkan jawatan (menteri), kita tidak ada kekosongan. Apabila ada kekosongan, kita akan cari calon yang sesuai,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Minggu lalu, Dr Mahathir menafikan laporan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet membabitkan pengguguran jawatan menteri tetapi sebaliknya berkata beberapa perubahan portfolio akan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 11:04 PM