KEADAAN rumah hangus dalam kebakaran  di Kampung Padang Pohon Tanjong.
KEADAAN rumah hangus dalam kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong di sini, kelmarin adalah kejadian kali ketiga di kampung itu dalam tahun ini.

Kejadian pertama adalah pada Ramadan lalu membabitkan sebuah rumah kedai diikuti tiga unit rumah sewa terbakar beberapa hari sebelum Aidiladha baru-baru ini dan yang terbaharu pagi kelmarin.

Ketiga-tiga musibah itu membabitkan 11 keluarga dan sehubungan itu, solat hajat akan diadakan di Masjid Mukim Paloh selepas solat Jumaat hari ini.

Penghulu Mukim Tok Janggut, Mohd Azamri Ariffin berkata, persetujuan mengadakan solat hajat itu diputuskan penduduk kampung yang melihat ia antara ikhtiar untuk memohon dari Allah SWT supaya dijauhkan daripada kejadian sama.

“Kejadian kelmarin yang membabitkan tujuh kediaman adalah kebakaran yang ketiga di kampung ini dan menyedihkan kerana empat daripadanya musnah 100 peratus.

“Solat hajat diadakan selepas solat Jumaat dan selepas ini akan dibuat di surau berhampiran kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini, semalam.

Mohd Azamri berkata, sejak kelmarin, bantuan yang diterima mangsa tidak putus-putus termasuk dalam bentuk barangan, pakaian dan kewangan.

Terdahulu semua 11 keluarga menerima kunjungan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanya khabar mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi.

Che Abdullah menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap penggunaan elektrik serta menjauhkan anak kecil daripada bermain dengan api bagi mengelakkan musibah yang sama menimpa.

Mangsa, Wan Minah Wan Mamat, 80, berkata, dia hanya mengetahui rumahnya hangus apabila diberitahu anaknya.

CHE Abdullah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada  Wan Minah.
CHE Abdullah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Wan Minah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:30 AM