FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


AHLI perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan surat palsu bagi mengelak pembayaran hutang sewa premis berjumlah RM40,000 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, S Thavarajah, 73, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang bayaran sewa premis kepada Pengarah Syarikat Redza Security Sdn Bhd, N Mohana Sundram, 58, berjumlah RM40,000 dengan mengemukakan surat palsu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Durian Emas 3, Betaria Business Centre, jam 2.11 petang pada 30 November 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 422 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob manakala tertuduh diwakili peguam M Haresh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 12:19 PM