WARGA asing bersembunyi di dalam lubang lif bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Mohd Azam Shah Yaacob


KUALA LUMPUR: Akibat bimbang ditahan menyebabkan buruh warga asing bertindak nekad memanjat dan bersembunyi dalam lubang lif sebuah bangunan sembilan tingkat dalam pembinaan di Kampung Bukit Lanjan di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, mereka ditahan 15 minit kemudian selepas dipujuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur yang menggempur tapak pembinaan itu dalam Ops Tapak bermula jam 10 pagi.

Dalam operasi diketuai Ketua Unit Aduan Risikan Operasi JIM Kuala Lumpur Mohd Shahrulnizam Ismail itu, seramai 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dalam operasi itu seramai 97 individu yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, seramai 38 Pati berusia 25 hingga 40 tahun yang bekerja di tapak pembinaan itu didapati tidak memiliki dokumen atau permit kerja yang sah.

“Mereka yang ditahan itu membabitkan 21 lelaki warga Bangladesh bersama 15 lelaki dan dua wanita warga Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membabitkan seramai 35 pegawai.


ANGGOTA DBKL mengeluarkan empat notis terhadap pemaju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:20 AM