Antara peserta yang menyertai perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan ke 62 di Dataran Putrajaya. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman


MALAYSIA sebagai negara berbilang kaum, sudah semestinya berdepan dengan pelbagai cabaran yang diharungi selama ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedar supaya sentiasa memfokuskan untuk membina kebersamaan antara satu sama lain dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

“Negara kita selama ini mengharungi pelbagai cabaran terutama dalam masyarakat berbilang kaum, sudah tentu kita ada cabaran dari semasa ke semasa.

“Tetapi saya yakin rakyat Malaysia keseluruhannya bersama kerajaan akan terus mempertahankan perpaduan antara kaum.

“Justeru kita berharap sempena Hari Kebangsaan ini, akan mengingatkan kepada rakyat iaitu perpaduan antara kaum dalam negara serta keamanan ini sangat bernilai dan kita tidak boleh kompromi apa yang dikecapi,” katanya ketika ditemui pada Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya hari ini.

Pada acara berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mencemar duli untuk bersama rakyat meraikan Hari Kebangsaan 2019.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba di acara berkenaan dengan memandu sendiri Proton Saga merah hati.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri dan timbalan menteri kabinet, menteri besar, duta serta pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih dan ia kali kedua diadakan di Putrajaya iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil tampuk pimpinan kerajaan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau melihat dua perkara penting menerusi sambutan kali ini iaitu Malaysia bersih dalam membasmi rasuah yang turut ditonjolkan pada acara berkenaan.

“Kedua ialah kita sudah mula melaungkan bangkit harimau Asia seolah-olah menyuntik semangat baharu untuk kita kembalikan kegemilangan negara di persada Asia,” katanya.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyifatkan tema sambutan kali ini bersesuaian untuk memastikan negara maju ke hadapan.

“Harapan saya adalah kita dapat pastikan ekonomi pulih lebih baik untuk memastikan kita memberikan peluang pekerjaan kepada semua anak muda yang mana kita dapat menjadi harimau Asia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan 2019 ini juga adalah untuk golongan muda dan usaha menghapuskan rasuah serta kebersamaan rakyat Malaysia tidak mengira agama dan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:43 PM