ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa stor pakaian tiruan di premis memborong pakaian di Bukit Mertajam dalam serbuan Rabu lalu. FOTO KPDNHEP Pulau Pinang.
Hadzlihady Hassan


RIBUAN pakaian berjenama terkenal ‘buatan Indonesia’ dirampas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam serbuan di premis memborong pakaian di Bukit Mertajam, Rabu lalu.

Serbuan 12.30 tengah hari itu dilakukan empat anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri bersama seorang wakil pemilik cap dagang berdaftar hasil daripada maklumat dan risikan dilakukan sebelum itu.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Chin Ching Chung berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 3,000 pakaian tiruan jenama terkenal bernilai RM34,000.

Beliau berkata, anggota KPDNHEP yang melakukan risikan berjaya mengesan sebuah stor dijadikan sebagai tempat menyimpan pakaian di premis terbabit.

“Bagaimanapun, pekerja di premis terbabit pada awalnya enggan memberi kerjasama dan tidak mengaku stor itu milik mereka.

“Namun, mereka akhirnya akur dan membuka pintu selepas diberitahu ia akan dipecah sekiranya mereka masih berdegil,” katanya.

Chin berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui pelbagai pakaian tiruan menggunakan cap dagangan jenama terkenal seperti Adidas, Nike, Puma, Levi’s dan Converse.

Beliau berkata, semua pakaian terbabit disita untuk tindakan lanjut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mempunyai dalam kawalannya untuk pembekalan barang-barang menggunakan perihal dagangan palsu.

Menurutnya, berdasarkan trend terkini, pemborong dan pengedar barang tiruan dikesan tidak lagi menyimpan barang terbabit di premis mereka.

“Mereka menjadikan stor berasingan untuk menyimpan semua barang tiruan terbabit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kami akan terus memburu dan mengambil tindakan tegas terhadap pengedar, pemborong dan peniaga membekalkan barang tiruan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 3:21 PM