Antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu dijalankan JHEAINS. Foto Ihsan JHEAINS
Raja Noraina Raja Rahim


TINDAKAN gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pengunjung melarikan diri melalui laluan belakang sebuah pusat hiburan di Seremban sebaik menyedari diserbu pihak berkuasa tidak berhasil apabila mereka ditahan hari ini.

Mereka antara 58 individu yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dari 1 hingga 5 pagi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diketuai Ketua Pegawai AADK Seremban, Haspalila Husain.

Ahmad Zaki berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di Seremban, Nilai dan Port Dickson.

“Ketika anggota menyerbu sebuah pusat hiburan di Seremban, beberapa individu cuba melarikan diri dengan menggunakan tangga belakang premis.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota yang mengepung laluan belakang itu menyebabkan mereka gagal melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain pusat hiburan, Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan di hotel bajet dan menahan beberapa kekasih yang disyaki melakukan kesalahan percubaan persetubuhan haram.

“Pelbagai alasan diberikan termasuk mendakwa menumpang bilik rakan lelaki sementara menunggu rakan lain untuk berjumpa dan mahu berehat selepas menyambut ambang merdeka.

“Malah ada juga merayu supaya anggota tidak memaklumkan penahanan mereka kepada ibu bapa kerana bermalam di hotel tanpa pengetahuan,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JHEAINS untuk siasatan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan Seksyen 78 enakmen sama.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, AADK turut menahan 10 individu selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:09 PM