DR Sahruddin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada Ishak (dua dari kanan), hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


“AJARLAH anak belajar al-Quran kerana ia memberi manfaat di dunia dan akhirat,” kata bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Ishak Abd Hamid.

Ishak, 77, adalah penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1441 Hijrah/2019 Masihi atas sumbangan bakti beliau dalam memartabatkan agama Islam kepada masyarakat.

Beliau yang pernah menjadi Kadi Mersing dan Kluang turut berpesan kepada semua ibu bapa supaya sentiasa menjaga anak sehingga menjadi orang berilmu.

“Jaga anak, jadi orang yang berilmu. Pastikan anak hafal al-Quran. Belajar al-Quran ini lebih baik. Mana boleh mengaji dengar je, kena belajar dengan orang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1441 Hijrah/2019 Masihi di Pusat Islam Iskandar Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan ajarlah anak dengan perkataan alif, ba, ta, kerana ia menjadi pemula sebelum mengenal huruf seterusnya.

“Belajar alif, ba, ta pun tak apa. Yang dah tua bangka (berusia) pun baru nak tahu alif, ba, ta, pun tak apa, boleh. Belajar al-Quran ini lebih beri manfaat bukan saja di dunia, tetapi akhirat,” katanya.

Beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi dan turut disarungkan Jubah Tokoh Maal Hijrah.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Bapa kepada tujuh orang anak itu melahirkan rasa syukur atas penghargaan diberikan kerajaan negeri terhadapnya sebagai tanda menghargai sumbangan beliau selama ini.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada 1977 dan pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAINJ sebelum menjadi Pegawai Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.

Biarpun bersara pada 2012, namun Ishak masih aktif dalam pelbagai program bersama masyarakat seperti menjadi Penasihat Surau An-Najah Desa Harmoni dan Pengerusi Surau Al-Husna Desa Harmoni di Kluang selain menjadi pemimpin zikir asma ul husna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:38 PM