Skip this ad x
SITI Nuralya Mohd Zainal. FOTO SAMADI AHMAD
SITI (kiri) dan abangnya, Muhammad Hafiz. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


PERMINTAAN telekung baharu daripada Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, iaitu beberapa hari sebelum tragedi lemas di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, semalam, seolah-olah menjadi petanda kanak-kanak perempuan itu akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Ibu mangsa, Jalina Jantan, 45, berkata dia sedih tidak dapat menunaikan permintaan itu, namun reda dengan pemergian Siti Nuralya serta seorang lagi anaknya, Muhammad Hafiz, 14, yang turut lemas dalam kejadian berkenaan.

Katanya, telekung sedia ada digunakan murid tahun lima itu masih baharu dan dia meminta dibelikan yang lain kerana bercadang memakainya ketika menghadiri program solat hajat sempena Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di sekolah, baru-baru ini.

“Setiap kali solat, Siti Nuralya akan bersujud lama dan bila ditanya, dia memberitahu ustazah pesan suruh minta doa supaya kita dapat keputusan cemerlang 8A dalam UPKK.

“Ketika dia meminta belikan telekung, masa itu belum ada wang mencukupi dan insya-Allah selepas ini, saya akan tunaikan hajatnya sedekahkan telekung pada rakan baiknya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana, Puchong, dekat sini.

Ditanya mengenai tragedi itu, Jalina berkata, pada asalnya mereka sekeluarga bersama keluarga adiknya bercadang bercuti di Port Dickson, namun apabila tiba di persimpangan Lukut, Negeri Sembilan, suaminya mengubah fikiran bercuti di Pantai Bagan Lalang, Sepang.

“Kami sekeluarga sedih kerana dalam satu hari berhadapan dua pengebumian anak dan saya juga berpesan kepada anak lain supaya tabah menerima ketentuan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zainal Mohd Tasar, 50, tidak menyangka permintaan anak keenam daripada lapan beradik itu akan menjadi petanda kepada keluarga kehilangan mangsa.

Menurutnya, Siti Nuralya bersungguh-sungguh meminta telekung putih baharu untuk digunakan ketika menunaikan solat.

“Waktu itu, dia minta nak pakai telekung putih sedangkan kebiasaannya dia suka pakai telekung sedia ada dan saya tidak berasa pelik. Saya beranggapan itu perkara biasa bagi kanak-kanak untuk digunakan ketika solat,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zainal berkata, seorang lagi anaknya yang lemas, Muhammad Hafiz pula menunjukkan sikap menjauhkan diri daripada ibu bapa sejak kebelakangan ini.

Katanya, remaja terbabit yang juga anak kelima daripada lapan beradik sering mengelak daripada berjumpa dan berbual dengan dia dan isteri.

“Saya rasa perkara itu biasa sahaja. Dia juga tidak pernah melakukan kesalahan terhadap ahli keluarga kerana Muhammad Hafiz mesra dengan kami dan suka membantu ketika di rumah,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, Siti Nuralya dan abangnya, Muhammad Hafiz dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, Sepang.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Siti Nuralya dan Muhammad Hafiz mandi di muara berkenaan bersama empat yang lain.

Difahamkan, empat mangsa terselamat ialah masing-masing dua lagi adik-beradik serta sepupu mereka.

Dua adik mangsa yang selamat ialah Muhammad Al Hakim, 9, dan Muhammad Alif Haikal, 7; manakala dua sepupu mereka ialah Muhammad Ferdaus Rizwan Mohd Khairilnizam, 11, dan adiknya, Muhammad Luqman, 7.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Azrul Faizal Maarif dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir ketika mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus dan ketika itu air mula pasang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 9:04 PM