Khairul Najib Asarulah Khan


SERAMAI 18 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan polis dalam satu serbuan di Jalan Persiaran 1, Puchong, Serdang, malam tadi.

Operasi jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam dijalankan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membabitkan lima pegawai dan 20 anggota.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 18 GRO di mana 13 daripadanya warga Vietnam dan lima warga Thailand berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.

“Pemeriksaan mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Polis turut menahan tiga lelaki warga Myanmar yang menjadi pekerja di premis itu termasuk pengurus premis lelaki berusia 40-an,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu.

Azmi berkata, seramai 50 pengunjung warga tempatan turut diperiksa ketika serbuan.

“Difahamkan, pengunjung yang mahukan pelayan ini perlu memakaikan kalung bunga berharga antara RM30 hingga RM50.

“Terdapat tiga warna kalungan bunga iaitu merah, kuning merah dan kuning di mana mereka dilayan antara 10 hingga 30 minit bergantung pada warna bunga berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan dan semakan mendapati premis itu mempunyai lesen sah dan sudah tiga kali diserbu.

“Premis ini mula beroperasi awal tahun ini dan polis akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menilai semula berhubung lesen mereka.

“Mereka ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 1:47 AM
ANTARA GRO warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.