GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menafikan video tular mendakwa DAP Kepong merancang mendaftar Mykad bagi pendatang haram dari China.

JPN memaklumkan, video berkenaan adalah video lama berkenaan mesej yang disalah tafsir ketika itu, yang menyebabkan orang ramai yang tiada kerakyatan, pemegang kad pengenalan sementara dan pemegang kad pengenalan tetap berpusu-pusu hadir di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menukar status kewarganegaraan mereka.

“Program anjuran pejabat parlimen DAP Kepong pada penghujung 2018 itu hanya membabitkan sesi penerangan dan taklimat berhubung tatacara permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan oleh JPN.

“Tiada urusan permohonan dilaksanakan pada hari berkenaan dan pihak JPN sudah menasihatkan mereka yang hadir untuk pergi ke pejabat JPN berhampiran bagi urusan permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, satu video tular mendakwa DAP Kepong sedang merancang mendaftar MyKad bagi pendatang haram dari China.

Pada April lalu, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng turut menafikan perkara berkenaan.

JPN turut meminta orang ramai supaya segera menghentikan penyebaran video itu di media sosial bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan seterusnya menggugat ketenteraman awam.

“JPN ingin mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, jika ingin mengetahui sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di laman web www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN ditalian 03-88807077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 11:08 AM