GAMBAR dan maklumat palsu yang tular di laman sosial menyatakan berlaku kes rogol membabitkan lelaki warga Pakistan.
Recqueal Raimi

POLIS hari ini menafikan maklumat tular kononnya berlaku kes rogol terhadap wanita membabitkan suspek lelaki warga Pakistan di daerah Kota Marudu.

Maklumat palsu yang juga memaparkan gambar ‘suspek’ lelaki dan ‘mangsa’ tersebar sejak semalam melalui Facebook dan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan maklumat disebar itu adalah palsu dan tiada kejadian seperti itu berlaku di daerah ini.

“Saya dimaklumkan lelaki warga Pakistan dalam gambar terbabit sudah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk membuat laporan penafian dan memberi keterangan.

“Setakat ini juga, tiada laporan diterima berhubung maklumat atau kejadian rogol di daerah ini,” katanya.

Menurutnya lagi, gambar wanita yang ditularkan itu dipercayai adalah gambar lama dan tidak terlibat dengan sebarang kes yang direkodkan di Kota Marudu.

“Pihak polis meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat palsu ini dan tidak membuat spekulasi atau tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sejak semalam, maklumat palsu itu tular menyatakan seorang gadis berusia 17 tahun dirogol ketika bersendirian di rumahnya di Kota Marudu manakala gambar seorang lelaki yang turut tular dikatakan sebagai suspek yang melakukan perbuatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 12:51 PM