Ammar Zhafran melihat keadaan rumah keluarganya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Sura Tengah, Dungun pagi tadi. (Gambar kecil) Nur Adriana. Foto Rosli Ilham
Ammar Zhafran melihat keadaan rumah keluarganya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Sura Tengah, Dungun pagi tadi. (Gambar kecil) Nur Adriana. Foto Rosli Ilham


“WALAUPUN takut, saya nekad memegang tangan kedua-dua adik dan meredah api untuk menyelamatkan diri,” kata Nur Adriana Batrissya Rosshazuan, 11.

Kanak-kanak itu bertindak menyelamatkan dua adiknya, Nur Qaireena Damia, 6, dan Amar Zafran, 7, apabila rumah keluarganya di Kampung Sura Tengah, Dungun dalam kejadian pada 1.30 pagi tadi.

Ibu mereka, Aslida Jusoh, 32, dan seorang lagi adik Nir Adriana yang berusia setahun turut terselamat dalam kejadian itu.

Nur Adriana berkata, dia bersama dua adiknya itu tidur dalam sebuah bilik, manakala ibu bersama adik bongsunya tidur di bilik sebelah.

Menurutnya, bapanya, Rosshazuan Musa, 33, tiada di rumah kerana bekerja syif malam di Kerteh.

“Kami masuk tidur kira-kira 10 malam dan ketika tidur tiba-tiba tekak terasa pedih selain turut batuk kerana terhidu asap tebal.

“Sebaik terjaga, bilik sudah dipenuhi asap dan api sedang marak di sekeliling bilik lalu saya segera menjerit sekuat hati mengejutkan ibu.

“Ibu segera meminta kami keluar menyelamatkan diri dan saya nekad meredah api bersama adik,” katanya yang turut menghidap penyakit jantung.

Aslida pula berkata, dia yang baru terlena kerana menjaga anak bongsunya demam terjaga selepas terdengar jeritan anak sulungnya itu sebelum segera mengarahkan mereka keluar daripada bilik.

“Walaupun kami tidak sempat menyelamatkan barangan yang ada, saya bersyukur kerana kami terselamat,

“Allah SWT masih sayangkan kami sekeluarga, kalau Nur Adriana tidak sedar mungkin kami semua terkorban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.45 pagi sebelum 11 anggota BBP Dungun dan Paka dikejarkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah sebelah dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3 pagi.

“Ketika ini, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:02 PM