Hardi Effendi Yaacob


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan tiada keperluan had usia persaraan sedia ada dilanjutkan kepada 65 tahun.

Menurutnya, secara rasionalnya sebahagian besar individu pada lingkungan usia berkenaan tidak lagi mampu untuk bekerja secara efisyen, selain berdepan beberapa kekangan berkaitan termasuk faktor kesihatan.

“Zaman saya dulu, kita pernah menaikkan had usia persaraan ini dari 55 kepada 56 tahun sebelum dilanjutkan kepada 60 tahun oleh kepemimpinan (negara) selepas saya.

“Bagi saya, cukuplah sampai 60 tahun itu,” katanya ketika sidang media di hotel penginapannya di Phnom Penh hari ini sempena lawatan rasminya ke Kemboja.

Dr Mahathir juga dijadualkan akan berlepas ke Vladivostok, Rusia esok bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur 2019.

Kenyataan Dr Mahathir itu sebagai mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar had usia persaraan di Malaysia dilanjutkan kepada 65 tahun seperti dilakukan dalam kalangan negara maju termasuk Singapura.

Dr Mahathir ketika mengulas lanjut berkata, had usia persaraan 60 tahun yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini sudah cukup memadai dan tiada keperluan untuk ia dilanjutkan.

“Jangan samakan dengan saya...saya sudah dan pernah bersara tetapi ‘dipanggil’ semula untuk bekerja,” katanya.

Dr Mahathir juga senada dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan langkah lanjutkan usia persaraan itu akan menghalang golongan belia mengisi jawatan bersesuaian dalam sektor pekerjaan.

“Jika kita tetapkan pegawai bersara pada usia 65 tahun...bila tidak pencen-pencen, susah untuk orang lain (yang lebih muda, berkemahiran dan berkelayakan) untuk duduk di kerusi itu,” katanya.

Berita berkaitan

Teliti cadangan naik had umur persaraan [METROTV]

Syed Saddiq tak setuju kenaikan usia persaraan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:57 PM
Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan isteri Bun Rany Hun Sen di Peace Palace, Phnom Penh, Kemboja hari ini. Foto Bernama