Keadaan kawasan kilang proses ayam di Merlimau, Melaka selepas kejadian kebocoran gas ammonia. Foto Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi

OPERASI pengeluaran sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, Melaka terpaksa dihentikan sementara selepas berlakunya kebocoran gas ammonia pagi tadi.

Kejadian pada 11.30 pagi itu dikatakan berlaku apabila satu daripada saluran paip di bilik sejuk beku premsi itu mengalami kebocoran.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 11.40 pagi.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba pada 11.54 pagi kemudiannya mengambil tindakan segera dengan memindahkan kesemua 800 pekerja ke kawasan selamat.

“Siasatan awal yang dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) kemudian mendapati terdapat kebocoran pada satu saluran paip yang digunakan untuk menyejuk beku produk makanan.

“Bahagian bilik berkenaan kemudian diarahkan tutup dan diklasifikasikan sebagai zon merah dalam radius 50 meter,” katanya ketika sidang media di pusat operasi di kilang berkenaan petang ini.

Afzanizar berkata, siasatan juga mendapati tiada sebarang kebakaran atau letupan berlaku tetapi hanya kebocoran pada saluran paip itu saja.

Beliau berkata, dimaklumkan kejadian disedari oleh seorang pekerja apabila terlihat asap putih.

“Akibat daripada kebocoran itu, sehingga jam 5.30 petang tadi seramai 26 pekerja kilang termasuk enam lelaki dikejarkan ke hospital masing-masing 16 ke Hospital Jasin dan 10 di Hospital Melaka selepas dilaporkan mengalami sesak nafas.

“Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tiada kesan serius,” katanya.

Mengulas mengenai kerja nyah cemar kawasan zon merah yang dilakukan pasukan HAZMAT, beliau berkata, buat tempoh itu kawasan terbabit ditutup sepenuhnya.

“Pihak bomba akan mendapatkan kerjasama sebuah syarikat swasta dalam kerja nyah cemar gas yang terperangkap dalam kilang.

“Bagaimanapun, persekitaran di luar kilang berkenaan selamat,” katanya.

Berita berkaitan

Sesak nafas terhidu gas bocor [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:28 PM