GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hadzlihady Hassan


TUNGGAKAN kad kredit RM7,000 namun kerugian ditanggung pula mencecah RM15,000. \

Itu terpaksa dihadapi kerani wanita apabila dia terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar kakitangan sebuah bank dan juga pegawai polis semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit RM7,000 dan perlu menyelesaikannya jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Mangsa bagaimanapun memberitahu yang dia tidak menggunakan kad kredit sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis bernama ‘Inspektor Yeoh’ bertugas di Bukit Aman.

“Dia kemudian diarahkan memberi maklumat dan jumlah wang yang ada dalam akaunnya serta kata laluan kononnya bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Noorzainy berkata, inspektor terbabit kemudian memberitahu kes itu masih dalam siasatan dan dia akan membantu mangsa menyelesaikan tunggakan kad kredit itu selain meminta perbualan mereka dirahsiakan.

“Mangsa berbual hampir dua jam dan kemudian menyerahkan dua kali nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima melalui telefon bimbitnya.

“Wanita itu juga diminta tidak mengakses mana-mana akaun kononnya kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun curiga dan membuat semakan sebelum mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM15,000 lesap dan dia kemudian membuat laporan polis.

“Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 12:33 PM