Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 46 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari lapan sekolah ‘hotspot’ di Pasir Gudang menduduki peperiksaan itu dalam bilik khas atau bilik kuarantin yang disediakan di sekolah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, mereka yang ditempatkan di bilik khas itu adalah murid berisiko mengalami masalah gangguan kesihatan termasuk yang mendapat kesan berulang akibat pencemaran di kawasan itu.

“Mereka yang ditempatkan dalam bilik khas ini antaranya yang terkesan dalam insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, yang mana sebelum ini pernah pengsan dan sebagainya, atau kes berulang.

“Bilik khas ini disediakan pihak sekolah, ia bilik yang tertutup dan berhawa dingin. Pengawas peperiksaan juga pengawas khas, walaupun jumlah calon dalam bilik itu kecil.

“Kita mahu beri tumpuan serta fokus kepada murid-murid ini dan mahu mereka dapat menjawab peperiksaan dengan lebih tenang dan selesa,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, Jasni Omar dan Guru Besar SK Taman Pasir Putih, Abd Rashid Ahmad.

Semua 12 sekolah yang dikenal pasti sebagai sekolah ‘hotspot’ di Pasir Gudang menyediakan bilik khas seumpama itu bagi menempatkan calon UPSR yang pernah menjadi mangsa dalam insiden pencemaran sebelum ini.

Daripada 12 sekolah terbabit, hanya lapan sahaja sekolah yang menempatkan calon selepas mendapat permohonan daripada ibu bapa.

Bagaimanapun, walaupun ada calon yang dikesan untuk ditempatkan di bilik khas, namun ia bergantung kepada ibu bapa calon itu sendiri sama ada mahu anak mereka diasingkan ketika menjawab peperiksaan atau tidak.

Ia berikutan ada antara 12 sekolah ‘hotspot’ itu hanya membabitkan seorang sahaja calon terkesan menyebabkan ibu bapa memilih untuk tidak mahu anak mereka menjawab peperiksaan seorang diri.

Pada masa sama, Aminolhuda berkata, masuk hari kedua UPSR dijalankan, tiada sebarang laporan masalah gangguan kesihatan diterima pihaknya.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang laporan diterima. Cuaca dari semalam pun baik, semalam juga hujan. Mudah-mudahan udara di kawasan ini bersih dan kita berdoa supaya semuanya berjalan lancar sehingga tamat tempoh peperiksaan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:04 AM
AMINOLHUDA Hassan (dua dari kanan) meninjau calon UPSR SK Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang ditempatkan dalam bilik khas. FOTO Mohd Azren Jamaludin