GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


AKIBAT panik dengan dakwaan hutang kad kredit tidak wujud, peniaga kerugian RM246,500 selepas menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai bank dan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12 tengah malam tadi.

“Wanita berusia lingkungan 60-an itu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai bank 10 pagi kelmarin.

“Individu itu memaklumkan mangsa dia ada tunggakan hutang kad kredit daripada sebuah bank berjumlah RM7,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, mangsa menafikan dia mempunyai kad kredit daripada bank berkenaan seperti didakwa individu terbabit.

“Panggilan itu kemudian disambung kepada seorang lagi individu mendakwa pegawai polis Bukit Aman.

“Individu berkenaan memaklumkan mangsa perlu memindahkan wang dalam akaun miliknya kepada empat akaun berasingan bagi mengelak ia disekat.

“Mangsa yang panik kemudian bertindak memindahkan wangnya berjumlah RM246,500 ke dalam empat akaun terbabit melalui pindahan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada saudaranya sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Rawang.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:55 PM