Dadah yang dirampas daripada remaja lelaki semalam. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


REMAJA lelaki berusia 18 tahun bakal ke tali gantung selepas ditahan bersama dadah bernilai lebih RM8,000 dalam satu serbuan di Jalan Tengah Nipah, Kampung Dasar Baru, Lahad Datu semalam.

Dalam operasi 9.30 pagi itu, dia yang disyaki pengedar dadah di kawasan berkenaan diberkas di hadapan sebuah rumah tidak bernombor.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan itu.

Katanya, ketika operasi anggota yang bertugas terserempak dengan remaja itu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, ketika anggota polis memperkenalkan diri, suspek bertindak melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap beg silang menemui tiga paket lut sinar berisi dadah seberat 59.93 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, polis turut menemui 14 paket lut sinar kosong, pemetik api dan gunting dipercayai peralatan menjalankan kegiatan berkaitan pengedaran dadah.

“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan dan tidak memiliki rekod lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap remaja itu bagaimanapun didapati negatif,” katanya.

Nasri berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sejak bila remaja itu terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan sumber bekalan dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:23 PM