Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 28 pegawai kanannya berkuat kuasa 7 Oktober ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad menerusi satu kenyataan hari ini berkata, antara pegawai kanan yang tersenarai dalam arahan pertukaran itu adalah Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim yang bertukar sebagai Ketua Polis Melaka.

Katanya, Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Datuk Muhammad Azlee Abdullah pula ditukarkan ke Timbalan Ketua Polis Kedah.

“Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman Datuk Arjunaidi Mohamed bertukar ke Timbalan Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

“Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Sapiai @ Shafien Mamat bertukar ke Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya dengan memangku pangkat DCP,” katanya.

Shafien bertukar ke Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) KDN Putrajaya dengan memangku pangkat DCP. FOTO NSTP

Asmawati berkata, Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, SAC Abd Razal Md Zin bertukar ke Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur.

“Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Perak, Asisten Komisioner (ACP) Suresh Kumar G Suppiah bertukar ke Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak dengan memangku pangkat SAC.

“ACP Ketua Inspektorat Kejuruteraan Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, ACP Sulaiman Hussain bertukar ke Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Beliau berkata, Penolong Pengarah Latihan, Urus Tadbir/Latihan Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Arjunaiti Abdullah bertukar ke Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM, Kuala Lumpur dengan memangku Pangkat SAC.

“Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Kuala Lumpur ACP Alzafny Ahmad bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:06 PM