Gambar MyKad yang tular di media sosial.
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar mengenai dakwaan wanita warga China memiliki kad pengenalan Malaysia (MyKad) yang tular di media sosial.

Menerusi kenyataan JPN, ia bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan rakyat bahawa kerajaan sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan kepada rakyat asing.

“Tindakan tegas akan diambil kepada individu yang menyebarkan sebarang isu berunsur fitnah kepada kerajaan.

“Isu ini pernah ditularkan tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mendakwa JPN memberikan kad pengenalan kepada warga China.

“JPN ingin menjelaskan, individu terbabit isteri kepada warga Malaysia yang memperolehi kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan pada September 2017,” katanya hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu menjelaskan, sebagai isteri kepada warga negara ini yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang Malaysia boleh memohon kerakyatan selepas memenuhi syarat ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan dan kelulusan kewarganegaraan Malaysia bukan tertumpu kepada kaum tertentu saja malah menerima dan meluluskan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

“Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada warga asing yang layak saja dan perlu mengikuti syarat ditetapkan serta tertakluk kepada Peruntukan-Peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 1:13 PM