DUA belas tong mengandungi petrol ditanam dalam pasir dipercayai cuba diseludup di Kampung Sinakut Felda Sahabat, Lahad Datu. FOTO IHSAN PPM
Hazsyah Abdul Rahman


TANAM petrol dalam pasir untuk mengaburi pihak berkuasa. Itu taktik terbaru penyeludup bahan bakar subsidi berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).

Taktik itu terbongkar selepas serbuan dijalankan di pesisir Pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat, Lahad Datu, jam 6 petang, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, serbuan dilakukan berpandu maklumat Unit Risikan Marin (URM) berhubung kegiatan penyeludupan minyak di lokasi berkenaan.

Katanya, pemeriksaan menemui 12 tong hijau mengandungi cecair ditanam di dalam pasir.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua tong berkenaan mengandungi petrol subsidi.

“Polis percaya petrol dianggarkan bernilai RM583 cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Caption : SEBANYAK 12 gelen petrol untuk diseludup dikubur dalam pasir di pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

TAMAT.*

From: Fardy

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:21 AM