GAMBAR hiasan
BERNAMA

KADAR baharu tarif air bagi semua negeri kemungkinan diumumkan hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Selepas Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baharu ini, baru saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri.

“Kemungkinan pada hujung tahun ini tetapi saya tidak boleh janji apa-apa,” katanya selepas Majlis Pelepasan Larian Keamanan 2019 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Lok Chee Khong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin.

Ditanya mengenai peratusan kenaikan tarif air itu, Dr Xavier berkata pihaknya akan memastikan kenaikan kelak tidak membebankan rakyat.

“Kita faham situasi rakyat tetapi pada masa sama rakyat perlu faham bahawa industri air sudah lama tiada perubahan dan memerlukan modal operasi yang besar,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,500 peserta menyertai larian berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Klang sejak dianjurkan SGM pada 2005.

Menurut Dr Xavier, acara seperti itu penting sebagai wadah untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum untuk bersama-sama membina negara yang aman, damai dan sejahtera.

“Perkara ini penting terutama bagi anak muda kita kerana merekalah yang akan tentukan masa depan negara dan saya berharap acara ini akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 2:38 PM