LOKASI mayat lelaki berusia 20-an dalam keadaan terbakar yang ditemui terapung dalam anak sungai, Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Muhamaaad Razis Ismail


POLIS tidak menolak kemungkinan seorang lelaki yang dibunuh dan dibakar minggu lalu di Pasir Puteh, kerana mengganggu teman wanita salah seorang suspek.

Mayat lelaki berusia 20-an itu ditemui penduduk dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak, pada 3 petang, 4 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris bagaimanapun berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Sehingga semalam, kita sudah menahan 11 individu termasuk empat wanita berusia 16 hingga 55 tahun di lokasi berasingan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa dikatakan mengganggu teman wanita salah seorang suspek.

“Bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Harian Metro pada 6 September lalu melaporkan hasil bedah siasat mendapati mangsa mempunyai kesan pukul dengan objek tumpul di muka dan badan.

Selain itu, mayat mempunyai kesan luka dan terbakar 30 peratus dengan tempoh kematian dianggarkan 48 jam sebelum ditemui.

Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di dalam sungai itu.

Berita berkaitan

Suspek dah kena cekup...

Sah mangsa bunuh

Mayat terapung dengan kesan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 1:58 PM