RUSLIN ketika sidang media di Putrajaya hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis ke atas beberapa pemilik akaun media sosial yang mendakwa agensi itu sewenang-wenangnya mengeluarkan kad pengenalan Malaysia (MyKad) kepada warga asing.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berkait dakwaan yang tersebar di Facebook dan Twitter bahawa lima individu warganegara China dan seorang lagi wanita warganegara sama memiliki MyKad.

“Berhubung isu lima warga China terbabit dikatakan memiliki MyKad, ia ditularkan sejak 2015 yang mana mereka adalah salah satu sindiket pemalsuan kad pengenalan di Sabah.

“Kes ini sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015 tetapi isu itu masih dimainkan oleh pemilik media sosial. Sindiket pemalsuan dokumen ini tiada kena mengena dengan JPN,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


MyKad palsu yang disebarkan di media sosial, sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, isu kedua berhubung dakwaan seorang wanita China yang memiliki MyKad, sebenarnya isteri kepada seorang lelaki Malaysia.

“Wanita terbabit memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan berdasarkan Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan dan berdasarkan kelayakan yang ada, dia sudah diberikan penganugerahan sebagai warganegara Malaysia pada 2017.

“Timbul persoalan daripada masyarakat luar kononnya JPN mudah memberikan kewarganegaraan kepada warga asing. Tidak mudah sebenarnya, wanita terbabit sudah berkahwin hampir 20 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, syarat yang ditetapkan bagi permohonan warganegara Malaysia dipaparkan pada laman web rasmi JPN dengan salah satu daripada syarat itu ialah berpengetahuan dalam Bahasa Melayu.

Malah katanya, pemohon perlu menjalani ujian sama ada bertulis atau secara lisan berdasarkan pada kes.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik media sosial supaya menghentikan semua tohmahan dan tuduhan ke atas agensi itu sebelum tindakan lanjut dikenakan ke atas mereka.

“Kita tidak memilih asal, keturunan, dari negara mana untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada pemohon tetapi ia berpandukan peraturan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendaftaran Negara,” katanya.

Ditanya mengenai langkah lain diambil JPN selain laporan polis, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau pemilik akaun media sosial berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 4:06 PM