Pemandangan bandar raya Shah Alam pada 7 malam ini. FOTO Roslin Mat Tahir


DUA stesen di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat enam petang tadi.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen di Kuching merekodkan bacaan IPU 241 manakala Sri Aman 248.

Empat stesen di negeri itu juga turut merekodkan bacaan tidak sihat antaranya, Samarahan dengan bacaan 191, Sarikei (142), Sibu (119) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (105).

Dalam pada itu, enam lokasi di Semenanjung turut merekodkan IPU tidak sihat iaitu stesen Batu Muda, Kuala Lumpur dengan bacaan 108; Cheras, Kuala Lumpur (111); Petaling Jaya, Selangor (102); Johan Setia, Selangor (151); Putrajaya (105) dan Nilai, Negeri Sembilan (109).

Sementara itu 56 stesen di negara ini merekodkan bacaan IPU sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Menerusi kenyataan JAS hari ini, kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak.

“Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang.

“JAS Selangor sedang mencari pemilik tanah dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 8:02 PM