YAACOB putus pergelangan tangan kanan dan tangan kiri hancur terkena jerangkap samar ketika Op Gubir 2 pada 1976.
Nazri Abu Bakar


“PUTUS pergelangan tangan kanan hingga bergelar orang kurang upaya (OKU) adalah bukti saya sanggup berkorban demi negara tercinta,” kata bekas komando, Yaacob Hassan, 67.

Justeru, katanya, dakwaan segelintir pihak yang menganggap tugas tentera hanya makan dan tidur seolah-olah memperkecilkan sumbangan mereka demi menjaga kedaulatan negara.

Katanya, pergelangan tangan kanannya putus ketika Op Gubir 2 di sempadan Kedah/ Thailand jam 10 pagi, 21 April 1976 bersama 44 rakan dari Unit 21 Komando Regimen Gerak Khas.

“Kumpulan kami adalah yang pertama dalam Rejimen Gerak Khas yang terkena jerangkap samar komunis.


YAACOB membersihkan ikan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, Pantai Puteri.

“Kejadian itu menyebabkan saya putus pergelangan tangan manakala dua lagi rakan putus kaki,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanah Merah, Pantai Puteri di sini, semalam.

Mengimbau kembali insiden pertempuran lebih 40 tahun lalu, Yaacob berkata, dia ibarat mati hidup semula berikutan pendarahan teruk dan kesukaran untuk keluar dari satu daripada kubu komunis terbesar di kawasan itu.


YAACOB bersama cucu di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, Pantai Puteri.

Katanya, mereka terpaksa berdepan lebih 1,000 anggota komunis yang turut memiliki laluan tikus bawah tanah namun mereka menang dalam pertempuran sengit itu.

“Ketika itu dianggarkan terdapat lebih 6,000 jerangkap samar yang masih aktif hingga mengenai kami bertiga dalam operasi berkenaan.


GAMBAR kenangan di hospital.

“Akibat insiden itu, tangan kiri saya hancur hingga mampu ditutup dengan kulit tapak tangan ketika pembedahan dijalankan.

“Sementara itu, tangan kanan yang turut terkena letupan pula terpaksa ditampal dengan kulit pada bahagian paha,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:40 AM