PENGAWAL keselamatan SKJ Chuang Hua No 4 di Kuching menunjukkan notis tutup sekolah melalui pesanan Whatsapp berikutan cuaca jerebu yang teruk di Kuching. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Roji Kawi


PENUTUPAN sekolah di kawasan Kuching, Padawan dan Bau diteruskan, hari ini, walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuching dan Samarahan menurun ke tahap tidak sihat selepas beberapa hari melebihi 200.

Tinjauan mendapati semua sekolah yang sudah menerima arahan penutupan oleh guru besar masing-masing petang semalam, ditutup pagi tadi.

Bagaimanapun, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dibenarkan menduduki peperiksaan itu.

Seorang ibu pelajar Sekolah Kebangsaan (Agama) Datuk Abdul Kadir Hassan di Petra Jaya, Malihah Bujang, 50, berkata mereka tidak menghantar anak ke sekolah kerana arahan penutupan sekolah itu dibuat berdasarkan bacaan IPU, 6 petang semalam.

“Walaupun IPU di Kuching menurun pagi ini, kami dimaklumkan penutupan sekolah diteruskan dan esok pula bergantung kepada bacaan IPU hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, ada juga pengetua yang mengambil keputusan untuk tidak menutup sekolah hari ini, walaupun bacaan IPU pada 6 petang semalam masih berapa tahap sangat tidak sihat.

Seorang bapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph, Jimmy Lau berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu dan beliau lega dengan penurunan IPU, pagi ini.

“Keputusan pengetua itu tepat tambahan pula calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki ujian percubaan hari ini.

“Kita cuma berharap IPU terus menurun hari ini dan cuaca menjadi baik,” katanya.

Maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 8 pagi ini, mendapati hanya Sri Aman mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 202.

Kuching berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU menunjukkan penurunan pada tahap 167 dan Samarahan pula 132.

Sementara itu, 10 Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatatkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Sibu ( 77), Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (69), Mukah (60), Miri (67), Bintulu (67), Samalaju (58), Kapit (63), Limbang (53), Sarikei (77) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (63).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:10 AM