Keadaan jerebu di Jalan Kampung Johan Setia, Klang. FOTO Faiz Anuar
Norrasyidah Arshad


KERAJAAN Selangor akan mengarahkan sekolah di negeri itu ditutup jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 200.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pihaknya masih memantau situasi jerebu di seluruh negeri sebelum sebarang arahan dikeluarkan.

Menurutnya, urusan berkaitan jerebu dikendalikan Unit Kawalan Bencana Negeri Selangor dan kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan isu terbabit.

“Tiada cuti sehingga kini kerana belum melebihi 200 namun orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

“Perkara ini adalah masalah yang berlarutan. Sebelum ini di Sepang kita sudah kawal dan berjaya tangani.

“Kali ini kita kena tengok di Johan Setia berikutan ia membabitkan tanah gambut dan pembakaran berlaku dengan cepat sehingga sukar dikawal,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian menyatakan, 28 kes pembakaran terbuka dikesan di sekitar Johan Setia sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi tindakan penguatkuasaan kepada pelakunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 7:06 PM