Siraj Mohd Zaini


PEJABAT Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan kerjasama polis merobohkan struktur binaan sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja di Klang malam tadi.

Difahamkan, operasi yang dimulakan kira-kira 8 malam turut disertai Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

PTD Klang dalam satu kenyataan malam tadi berkata, operasi terbabit dilakukan berikutan berlaku pencerobohan tanah kerajaan oleh restoran berkenaan.

"Tindakan diambil selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 19 Julai lalu yang memutuskan pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan di atas tapak berkenaan bertempoh satu bulan dan jika gagal pihak plaintif perlu menanggung kos merobohnya.

"Sehubungan itu, pihak Pentadbir Tanah Klang mengeluarkan satu notis peringatan pada 26 Ogos lalu bertempoh tujuh hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak berkenaan.

"Susulan kegagalan dan keengganan pemilik struktur mengosongkan dan merobohkan struktur bangunan itu, satu tindakan penguatkuasaan dijalankan pada hari ini (malam tadi)," katanya.

Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kehadiran pihak polis hanya membantu melancarkan operasi berkenaan.

Beliau berkata, tiada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di lokasi serta tiada kekecohan dilaporkan berlaku ketika operasi dijalankan.

"Hanya 170 pegawai dan anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 12:07 AM
Kerja merobohkan struktur sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja, Klang selepas menceroboh tanah kerajaan. Foto Saddam Yusoff
Kerja merobohkan struktur sebuah restoran berhampiran Bulatan Bukit Raja, Klang selepas menceroboh tanah kerajaan. Foto Saddam Yusoff
Digital NSTP Subscribe