MOHD Nasli ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, 22 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

TERTUDUH yang didakwa menetak Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi diperintah oleh Mahkamah Sesyen Besut untuk menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan tersebut ke atas Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, dan mengarahkannya berbuat demikian dalam tempoh sebulan bermula hari ini di Hospital Permai di Johor Bahru.

Kes itu sebutan kali pertama di mahkamah tersebut setelah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Pada 22 Ogos lalu, Mohd Nasli yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah mencederakan Mohd Zamri dengan cara menetak menggunakan sebilah parang yang mengakibatkan kecederaan parah hingga terputus ibu jari kanan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam yang mewakili Mohd Nasli, Ahmad Fairuz Jusoh memohon mahkamah mempertimbangkan rayuannya untuk menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan mental berikutan rekod perubatan tertuduh yang pernah dirawat di Klinik Psikiatri dan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, pada 2012.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Nasli tidak menjalani rawatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli dan mahkamah menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes.

Berita berkaitan

Tuan Mohd Zamri dah keluar wad

KPD Besut stabil selepas pembedahan kedua

Tak mengaku tetak KPD Besut

'Lelaki tetak KPD Besut direman'

'[UPDATE] Suspek tetak KPD dah kena tahan'

'Ketua Polis Daerah Besut cedera ditetak'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:29 PM