SURINA (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas dalam lima serbuan di sekitar Perlis. FOTO Amran Hamid.
Aizat Sharif


BERMULA dengan penahanan lelaki mencurigakan di tempat letak kereta dekat Kuala Perlis, membolehkan enam lagi individu diberkas yang semuanya terbabit pengedaran dadah.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 34 tahun itu pada Isnin lalu, ketika dia mahu memasuki Honda Civic FD biru di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis ke atas kenderaan itu kemudiannya menemui sejumlah dadah jenis syabu.

“Susulan penahanannya, enam lagi lelaki ditahan berusia antara 22 hingga 52 tahun yang dipercayai menjadi tokan kepada sindiket dadah di negeri ini.

“Semua mereka ditahan menerusi lima serbuan di Kuala Perlis, Simpang Empat dan Arau yang berakhir 4.30 pagi semalam.

“Pasukan juga merampas 1184.81 gram (gm) dadah jenis syabu dan 23.68 gm heroin bernilai RM121,685.40,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Surina berkata, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang dan untuk pasaran Perlis.

“Kita percaya sindiket ini menyasarkan perkampungan nelayan untuk pasaran dadah mereka yang didagangkan secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Morfin.

“Selain kereta Honda Civic FD, kita turut merampas kenderaan seperti dua kereta BMW dan Proton Wira serta sebuah motosikal Yamaha 135LC milik suspek dengan nilai keseluruhan RM120,000,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:30 PM